Sabtu, 23 Januari 2010

Daulat Tuanku


Tunku Ibrahim Ismail Dimasyhur Sebagai Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 23 Jan (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru pada Sabtu
23 Januari 2010.

Pemasyhuran itu, berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Istana Besar Johor Baharu pada pukul 10.21 pagi.

"Berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, disahkan bahawa waris Sultan, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Raja dan Sultan di bawah undang-undang yang sama," katanya.

Sejurus itu, Tunku Ibrahim Ismail, 51, mengangkat sumpah sebagai Sultan Yang Dipertuan Jajahan Johor Darul Takzim dan segala takluknya.

Baginda mengaku akan memerintah dengan adil dan saksama serta bertimbang rasa kepada rakyat.

Tunku Ibrahim Ismail, yang berbaju Melayu putih, juga melafazkan sumpah bagi menghormati dan memelihara agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang teguh kepada Undang-undang Tuboh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-undang negeri Johor.

Istiadat angkat sumpah disaksikan Sultanah Zanariah, isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan kesemua anakanda serta adinda baginda. Turut hadir Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadot, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta anggota Exco kerajaan negeri Johor.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim adalah bagi mewarisi takhta Johor selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada pukul 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri di sini.

Istiadat itu diadakan sebelum pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Petang semalam, Tunku Ibrahim Ismail dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Iskandar dimasukkan ke hospital itu kerana gering.

Tunku Ibrahim Ismail yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Baginda menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim Ismail yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika. Sekembalinya ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta.

-- BERNAMA

Al-Fatihah



Sekalung takziah buat seluruh warga Johor dan kaum keluarga Diraja Johor keatas kemangkatan Al-marhum Sultan Iskandar Ibni Al-marhum Sultan Ismail Ibni Al-marhum Sultan Ibrahim sultan bagi seluruh jajahan negeri Johor.

Sultan Iskandar telah menghembuskan nafas yang terakhir pada kira-kira jam 7:15 mlm 22 Januari 2010 di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru pada usia 77thn dan beliau meninggalkan seorang Isteri serta 10 orang putera dan puteri.

Diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajarannya di English College (sekarang Sekolah Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru.

Baginda seterusnya melanjutkan pelajarannya di Trinity Grammer School Australia dan selepas itu ke United Kingdom.

Setelah menamatkan pengajiannya, baginda berangkat pulang ke Johor pada tahun 1956 dan terus berkhidmat sebagai Pegawai Kadet Johor Civil Service.

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota pada 29 April 1981.

Pada 11 Mei 1981 baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang keempat.

Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia pada 5 April 1982

Baginda ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII pada 15 November 1984

Baginda pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) yang diasas dan ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar

Pada masa lapang baginda gemar bermain polo, papan layar, memburu dan bermain golf.

Sabtu, 15 Ogos 2009

Malayan Union

Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 selepas Perang Dunia II merupakan sebuah gabungan Negeri-Negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi pengganti British Malaya.



Rasional untuk pembentukan Malayan Union

Seawal 1943, kerajaan British telah menubuhkan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II bertamat. Unit perancangan tersebut mencadangkan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi Malayan Union, sedangkan Singapura dikekalkan sebagai tanah jajahan yang berasingan.
Rancangan Malayan Union mengekalkan Singapura sebagai suatu tanah jajahan yang berasingan disebabkan ketakutan bahawa penentangan orang Melayu terhadap penyertaan Singapura akan menjejaskan penerimaan rancangan tersebut. Terdapat kesangsian tradisional di kalangan peniaga-peniaga Tanah Melayu bahawa sektor perniagaan Singapura akan menjejaskan kepentingan mereka. Selain itu, pihak British juga takut bahawa pemasukan dasar kewarganegaraan yang liberal akan mengakibatkan ketakutan pemimpin-pemimpin Melayu disebabkan bilangan orang Cina Singapura yang besar. Bagaimanapun, kerajaan British juga hendak menjadikan Singapura sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk operasi strateginya di Timur Jauh.
Salah satu daripada sebab utama untuk pembentukan Malayan Union ialah hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu terhadap kemerdekaan. Sebagai salah satu daripada penandatangan Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan hak negara-negara untuk penentuan diri, Britain terikat untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun, banyak orang mempercayai bahawa rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan menjadi sebuah tanah jajahan British.

Butiran utama Malayan Union

Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing dan terus memerintah bersama dengan sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor tersebut, tetapi kedaulatan dipindah kepada Kerajaan British. Baginda-baginda akan mengekalkan kuasa hanya dalam hal-hal yang berkenaan dengan agama Islam sahaja. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor.
Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi ras dan kepercayaan.

Peringkat memperkenalkan Malayan Union

Cadangan untuk rancangan Malayan Union diumumkan oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, buat pertama kali di Parlimen United Kingdom pada Januari 1944. Wilayah-wilayah Borneo juga dimasukkan dalam rancangan yang asal tetapi pemasukan itu kemudian dikeluarkan daripada cadangan yang terakhir kerana merumitkan cadangan Union yang sudah cukup susah.
Pada musim bunga 1944, Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael, seorang yang pernah menjadi penjaga kepada beberapa putera Melayu, untuk mengetuai perwakilan ke Tanah Melayu selepas peperangan untuk memperoleh perjanjian baru daripada sultan-sultan untuk membentukkan Malayan Union. Pada 3 September 1945, ketika pihak British sedang menjalani pendudukan semula di Tanah Melayu, Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.
Memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan tidak sebegitu susah seperti yang dijangka. Mac Michael memaksakan sultan-sultan untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda-baginda berunding dengan majlis masing-masing, malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan diganti di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia II. Pada 21 Disember, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baru. Bagaimanapun, sebilangan daripada sultan-sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat perjanjian itu, tetapi disebabkan peranan baginda-baginda semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah dikritikkan, sultan-sultan itu berhasrat benar untuk menunjukkan kesetiaan kepada pihak British. Semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan sultan-sultan Melayu dimansuhkan. Dengan itu, kepura-puraan pihak British bahawa mereka cuma membantu sultan-sultan Melayu untuk memerintah dihapuskan.
Setelah menerima perjanjian-perjanjian itu, pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union dalam suatu Kertas Putih pada lewat Januari 1946.

Gerak balas daripada kaum Melayu

Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu, yang biasanya bersikap tidak peduli, bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baru itu. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan juga mengkritikkan sesetengah peruntukan. Pesara-pesara British daripada Perkhidmatan Awam Tanah Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan menuduh MacMichael kerana menggunakan 'cara-cara ugutan' untuk memperoleh persetujuan sultan-sultan Melayu terhadap perjanjian-perjanjian baru. Lobi Tanah Melayu lama di Parlimen bergabung dengan bekas pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang terkenal seperti Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W. Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemard untuk menulis surat-surat kepada akhbar nasional dan untuk merayu kepada Perdana Menteri United Kingdom. Kegiatan seumpama ini mewujudkan tanggapan bahawa terdapat penentangan yang hebat terhadap Malayan Union dan akhirnya berjaya untuk menyebabkan pemansuhan skim itu.
Sultan-sultan Tanah Melayu juga dipengaruhi oleh perasaan anti Malayan Union dan membantah terhadap cara yang digunakan oleh MacMichael untuk memperoleh tandatangan baginda-baginda untuk perjanjian baru itu. Sultan-sultan tersebut menolak rancangan Malayan Union dan mencadangkan suatu perwakilan ke London untuk memansuhkan rancangan itu. Bagaimanapun, sudut pandangan orang Melayu telah dimajukan dengan lebih berkesan oleh suatu kuasa politik baru yang termuncul untuk meyalurkan bantahan Melayu terhadap Malayan Union.

Penubuhan UMNO

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres itu juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.

Pelaksanaan Malayan Union

Meskipun penentangan Melayu yang begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelakasanaan rancangan Malayan Union. Sebaliknya, kerajaan British mendesak bahawa Malayan Union dilaksanakan dengan segera supaya Pentadbiran Tentera British yang memerintah Tanah Melayu sejak akhir Pendudukan Jepun dapat dibatalkan.
Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent merupakan Gabernor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union adalah begitu berkesan sehingga rancangan itu tidak pernah dikuatkuasakan. Malah pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama dipulau oleh kesemua orang Melayu sepenuhnya. Akhirnya,Malayan Union dibatalkan pada keseluruhannya pada 1 Februari 1948 ketika Persekutuan Tanah Melayu dibentukkan. Penggantian konsep Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu dengan skim Malayan Union yang tidak popular dicapai, terutamanya melalui perundingan antara pihak British, sultan-sultan Melayu dan UMNO.
Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan suatu kemenangan untuk orang-orang Melayu tetapi disambut dengan kecewa oleh golongan-golongan etnik yang lain. Bagaimanapun, mereka yang menentang cadangan Persekutuan tidak mempunyai sokongan di tanah air serta lobi Parlimen yang kuat ataupun penyokong-penyokong di London yang telah membantu dalam pembatalan skim Malayan Union. Terutamanya, orang-orang Cina berasa dikhianati kerana mereka menganggap bahawa mereka telah membuat pengorbanan yang lebih besar dan merupakan golongan yang paling setia kepada pihak British sepanjang peperangan. Sesetengah daripada orang Cina yang tidak puas hati kini memperlihatkan Parti Komunis Malaya sebagai harapan yang tunggal untuk mencapai sebuah masyarakat yang adil.

Garis masa

• 14 Ogo 1941: Britain memeterai "Piagam Atlantik" yang mengisytiharkan hak negara-negara untuk penentuan diri.
• 1943: Pembentukan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II.
• Januari 1944: Cadangan untuk Malayan Union dikemukakan buat pertama kali oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, di Parlimen United Kingdom.
• Musim bunga: Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael untuk mengetuai perwakilan ke Tanah Melayu selepas peperangan untuk memperoleh perjanjian yang baru daripada sultan-sultan untuk bersetuju dengan Malayan Union.
• 03 Sep 1945: Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael.
• 21 Dis 1945: Setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian baru untuk membentukkan Malayan Union.
• Januari 1946: Pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union melalui sebuah Kertas Putih.
• 1 Mac 1946: Kira-kira 200 orang Melayu yang mewakili 41 buah persatuan berhimpun di Kuala Lumpur untuk Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress). Kongres itu membincangkan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union.
• 01 Apr 1946: Malayan Union diisytiharkan oleh kerajaan jajahan British.
• 01 Mei 1946: Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Penubuhan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres ini juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.
• 01 Feb 1948: Malayan Union dibatalkan pada keseluruhannya ketika Persekutuan Tanah Melayu dibentukkan.